Friday, December 07, 2007

Pasrah




pasrahlah pada
hadiah Nya

bertafakurlah pada
anugerah Nya

bersabarlah pada
dugaan Nya

terimalah pada
ujian Nya

redhalah pada
ketentuan Nya

pasrah
berserah
seluruh mu
semadikan
dalam Nya.

Armiza Nila

Merawat Luka Hati Yang Parah

[foto ihsan dari blog Zalisa Maz]

Bismillahirrahmaanirrahim.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Setelah 8 hari di pangkuan, akhirnya saya telah mengkhatamkan buku ajaib ini TH : MSI karya Profesor Dr. Haji Muhd Kamil Ibrahim tepat jam 2.40 pagi ini, Jumaat, 7 Disember 2008.

Saya pun tidak pasti mengapakah hati saya tertarik untuk menghadam buku ini biarpun saya amat sibuk melayani karenah dan kehendak anak-anak kecil saya pada sebelah malam sekembalinya daripada tugas yang meletihkan di pejabat.

Setelah pertama kali menemui ulasannya di blog Jiwarasa [terima kasih], saya tertarik untuk sama-sama menikmati isi kandungannya lalu tanpa berfikir panjang membeli secara terus daripada penulis [Prof] yang begitu humble ini. Maaf, sebenarnya saya tidak mudah untuk memuji seorang jika tidak kerana sesuatu yang benar-benar menyentuh hati saya.

Berbalik kepada buku Travelog Haji ini, saya berhempas pulas untuk menikmati kandungannya ketika saya harus menjaga anak-anak pada sebelah malam tanpa ditemani suami yang bertugas jauh di luar kawasan Kuching. Kebetulan petang kelmarin, suami pulang untuk 'off day'nya. Apa lagi, saya berdoa kepada Allah agar saya dapat mengkhatamkan buku ini malam ini juga[malam Jumaat] biarpun sehingga lewat pagi dan terlebih dahulu dengan keizinan suami tercinta dan berhenti seketika pada jam 1.00 pagi untuk solat sunat Hajat.

Dalam keadaan hati saya yang luka parah kerana sesuatu, Allah telah menganugerahi saya sebuah buku yang begitu mengesankan dan menginsafkan insan kerdil lagi jahil ini.

Betapa Prof MKI seorang yang jujur dalam menyampaikan setiap cerita dan ilmu di dadanya untuk dikongsikan kepada umum. Seingat saya, semasa di sekolah menengah saja saya sempat belajar bab haji. Dan secara jujur, saya tidak ingat lagi cara-cara menunaikan haji satu-persatu sehinggalah saya mempelajarinya daripada buku ajaib ini.

Seawal bab lagi, chapter ke chapter bacaan saya dituruti dengan airmata yang jatuh tanpa diminta. Ia jatuh dengan sendirinya sambil ditegur anak-anak saya dan merenung tepat ke wajah saya sambil berkata, "Mama nangis?".

Ya, hati saya sebak bila membaca kalimat2 yang seiring dengan cerita yang disampaikan penulis. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Astagfirullah.

Sesekali saya takut, gerun dan penuh rasa kebersalahan terhadap batang tubuh dan hati ini.

Tatkala
saya membaca bab ketika penulis harus berdoa memohon keampunan daripada Allah sewaktu berada di Masjidil Haram, seram sejuk rasa diri saya. Tiada jalan mudah untuk mencapai keistimewaan daripadaNya.

Bab Malaikat atau Wali Allah - betapa penulis berjiwa mulus dengan tidak mementingkan amal ibadat dirinya sahaja, malah sempat membantu beberapa jemaah untuk sama-sama mencapai impian dan hasrat untuk beribadat paling hampir dengan Kaabah dan menghadap Multazam [saya pun tidak pasti apa sebenarnya Multazam sehingga saya akan bertanya kepada Prof MKI sendiri nanti]. Penulis tidak tamak dalam mencapai tahap keimanan dan kesabarannya.

Buku ini benar-benar mendidik saya tentang kesabaran dalam menempuh pelbagai dugaan di dunia ini waima saya baru saja melangkah ke alam perkahwinan seusia empat tahun.

Apa yang saya alami ketika ini begitu remeh sebenarnya. Ada lagi ujian yang Allah datangkan kepada hambaNya yang lain yang lebih dahsyat berbanding dugaanNya kepada saya.

Alhamdulilah, saya sedikit beruntung kerana telah mengenali al-Quran seusia 5 tahun dan khatam pada usia 11 tahun atas kesungguhan ibu saya yang buta huruf menghantar kepada guru mengaji - Arwah Nek Koyong untuk memantapkan lagi bacaan saya.

Saya masih ingat, betapa ibu sibuk dan berbangga setiap kali saya naik juzuk, ibu akan merebus telur bersamaaan jumlah juzuk dan memasak pulut kuning untuk disedekahkan kepada guru mengaji saya.

Berbalik kepada Prof yang tidak tahu membaca al-Quran pada mulanya, sanggup berkata jujur akan kejahilannya. Saya berasa cukup kerdil dan merasa lebih beruntung biarpun pencapaian akademik saya jauh di belakang beliau. Astaghfirullahaladzhim. Saya bukan meninggikan diri cuma membuat perbandingan betapa Allah itu Maha Adil sebenarnya.

Prof bersungguh-sungguh dalam amalan hajinya. Betapa beliau gigih untuk mengkhatamkan Al-Quran di Masjidil Haram sehingga berjaya meskipun pada mulanya beliau buta Al-Quran. Subhanallah. Dengan pertolongan dan hidayahNya jua setiap hambaNya dapat menikmati anugerah demi anugerah sepanjang 44 hari menunaikan haji.

Hati kecil saya meronta. Sekarang saya sudah 32 tahun hidup di dunia ini. Entah bila agaknya saya akan mendapat kad jemputan daripadaNya.

Ketika berusia 25 tahun, saya sudah menyimpan di Tabung Haji secara potongan gaji sebanyak RM20.00 sebulan sehinggalah pada satu ketika saya memberhentikannya kerana melihat slip gaji yang comot oleh potongan. Lagipun sewaktu sesak, wang simpanan sedikit itulah juga saya keluar dan gunakan untuk keperluan. Betapa tidak berkatnya simpanan saya pada ketika itu kerana asyik mengeluarkannya tanpa terus menambahkan jumlahnya.

Astaghfirullah. Ya Allah, ampunilah hambaMu ini.

Saya berjanji pada diri, selepas ini saya akan menyimpan lagi di Tabung Haji waima RM10.00 sebulan dan berniat untuk mendaftar di samping menambah tabungan kedua ibubapa saya walaupun sedikit setiap bulan. Mudah-mudahan saya kelak dapat menunaikan haji bersama kedua-dua ibubapa saya. InsyaAllah.

Terima kasih Profesor MKI kerana menulis buku yang amat bermanfaat kepada saya ini.

Mulai hari ini juga saya berniat untuk melakukan amalan sunat yang lain - solat, puasa, membaca Al-Quran dan terus berdakwah waima hanya dengan mata pena yang tajam ini.

Profesor MKI, maafkan saya kerana tidak dapat mengulas lebih lanjut isi kandungan buku ini kerana kekurangan yang ada pada diri saya ini. Bagi rakan-rakan penulis di Sarawak, saya menyarankan anda semua membeli dan membaca buku ini. Mudah-mudahan kita sama-sama mendapat ilham dan petunjuk hidayah daripada Yang Maha Kuasa.

InsyaAllah, suatu ketika saya akan mencipta puisi tentang Travelog Haji ini, doakanlah.

Kesempitan waktu yang saya ada, mudah-mudahan dengan sedikit ulasan ini, ada pembaca yang dapat mengambil iktibar dan bersama-sama saya membersihkan jiwa yang kotor. Merawat luka hati yang parah.

Wahai Maslina, sedarlah, masih ada insan yang menyayangimu dengan anugerah buku ini atas izinNya.

Maha Suci Allah.

Astaghfirullah.

Wassalam.

Armiza Nila
Kuching, Sarawak.
Jumaat - 7 Disember 2007