Wednesday, November 18, 2009

Malam Baca Puisi November Musim Dingin

telah berlangsung pada 14 Nov 2009 di Godown Amphitheatre Kuching Waterfront anjuran Suara Marhaean dengan kerjasama Angkatan Pengkarya Indie.

Dimulakan dengan sketsa berupa Monolog Dalaman oleh pengasas Suara Marhaen saudara Abdillah SM - Tenuto Tribute kepada Allahyarham Sazali - sahabat pemuzik yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya beberapa waktu yang lalu - cukup menyentuh sehingga saya turut menitiskan airmata. Tahniah bang Dil - anda seorang penyair yang benar-benar punya kelebihan dan bakat yang luarbiasa dalam banyak bidang pengkaryaan.

Saya sempat mendeklamasikan puisi panjang Allahyarham Abdul Aziz HM yang berjudul I/C ....sebuah puisi panjang yang mempunyai makna yang tersirat tentang seorang lelaki dan pengenalannya..mungkin (tafsiran saya sendiri). Akan saya perturunkan di sini jika berpeluang nanti.

Baca puisi turut didendangkan oleh saudara Presiden Pekasa Tuan Haji Taufiq Firdausi yang cukup pedas, Zakaria Abdul Manan juara 5 kali Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sarawak, penyair Yusuf Fansuri , Setia Kasih dan penyair dari Sabah (jemputan) maaf saya lupa bertanya namanya kerana begitu tergesa-gesa untuk pulang.

Walaubagaimana pun saya tetap berpuas hati dan terima kasih kepada sahabat-sahabat saya yang sentiasa menyokong dan menjadi tulang belakang kepada kelangsungan kepenyairan saya dan kita dari kalangan Angkatan Pengkarya Indie terutamanya.

Viva API!

KWF

14 Nov 2009