Syukur teramat dipanjatkan ke hadrat Allah s.w.t. kerana masih diberi kesempatan sehingga kembali menulis di sini. Setiap nafas dan denyut nadi yang dianugerahkan sehingga saat ini amatlah berharga bagi insan dhaif ini. Saya amat gembira kerana dapat bertemu Ramadhan untuk kesekian kalinya di mana bulan penuh barakah, bulan rezeki bulan untuk memperbanyakkan amalan wajib dan sunat, bulan kegembiraan, bulan berkumpul, bulan penuh kesyukuran datang lagi.
Saya telah banyak mengalami peristiwa-peristiwa yang hampir memusnahkan hidup saya tetapi semua itu adalah ujian Allah. Terima kasih atas sokongan suami, anak-anak, ibubapa, adik-beradik, keluarga, saudara-mara, sepupu dan rakan taulan, sahabat handai yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan hidup saya. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Allah yang mendatangkan kesakitan dan Allah jualah yang memberi kesembuhan.
Bulan puasa bulan di mana, keluarga saya sering berkumpul untuk makan bersama sewaktu bersungkei (berbuka) dan bersahur. Terharu saya melihat telatah anak-anak yang masih kecil dan meningkat besar berebut-rebut dengan juadah yang bermacam-macam dari lauk ke kuih dan bermacam rasa dan warna air minuman. Jika bulan lain jarang kita makan bersama kerana kesibukan tugas masing-masing. Saya amat gembira melihat anak-anak makan dengan penuh selera dengan rezeki yang datang tanpa disangka-sangka disedekahkan oleh jiran-jiran terdekat.
Ya Allah! Rezeki yang Engkau berikan tiada siapa yang mengetahuinya. Kami bersyukur ya Allah kerana Engkau sentiasa memudahkan urusan kami.
Pemikiran Telus
15 years ago