Alhamdulillah, semalam (Rabu - 08 Februari 2006) segala getir terlepas akhirnya. Lega hatiku tatkala mendengar berita kelahiran anakbuah baru - perempuan dengan berat 3.11kg. Anak sulong adik perempuanku yang paling rapat. Sungguh comel.
Dia yang nak bersalin, aku pula yang gelisah kerana aku sudah punya dua kali pengalaman serupa. Dua awal pagi berturut-turut aku menemaninya ke hospital kerana cemar darah.
Subuh semalam aku sekali lagi bergegas ke hospital bertemankan abang dengan keadaan cuaca yang agak tidak baik. Aku menunggu adikku di ruang legar wad bersalin penuh debar dan tak senang duduk.
"Agaknya begitulah perasaan yang suamiku alami semasa menungguku melahirkan anak," getus hatiku.
Adik dimasukkan ke wad untuk berehat sementara menunggu bukaan rahim bertambah ke 10cm. Aku menemaninya sehinggalah selesai pendaftaran masuk wad.
Jam 0800 pagi, aku pulang ke rumah bertemankan ayah. Sebelum itu aku menelefon boss memohon cuti kecemasan kerana menemani adik. Suaminya jauh di Bintulu. Flight last jam 5.00 petang barulah berangkat. Maknanya, semua urusannya jatuh ke pundakku.
Sesampai di rumah, aku tak duduk diam. Asyik menelefon hp adikku tapi tak berjawab. Kerisauan mulai bertapak di hati dan fikiran sambil berdoa kepada Allah S.W.T semoga diberikan kesejahteraan dan keselamatan semasa melahirkan.
Jam 3.00 petang, akhirnya segala kerisauan pecah! Adik selamat melahirkan anak sulongnya jam 11.00 pagi secara normal. Alhamdulillah.
Akulah orang yang paling sibuk sepanjang hari itu. Bergegas ke hospital menghantar keperluan adik dengan membonceng motorsikal ayah kerana ibu tidak yakin aku memandu kereta ke hospital.
Jam 8.30 malam, aku sampai di rumah kerana menunggu suami adikku yang baru sampai dari Bintulu jam 7.30 malam di hospital. Tugas mencuci temuni belum dilaksanakan. Aku bergegas ke rumah ibu mertuaku minta dibersihkan temuni sebelum dikuburkan.
Jam 10.00 malam, temuni selamat disemadikan dengan adat-adatnya tersendiri.
Alhamdulillah, lega hatiku kerana telah melaksanakan kewajiban dengan lancar sehinggalah melelapkan mata jam 12.00 tengahmalam.
Sesungguhnya kelahiran amat mencemaskan sesiapa sahaja terutama orang yang bakal melahirkan. Segala kesakitan hilang dengan serta merta bertukar wajah kegembiraan tatkala mendengar suara bayi dan menatap wajah comel dan mungilnya.
* sebuahcatatanperibadiarmizanila*
090206
Pemikiran Telus
15 years ago
2 comments:
Saya memahami keresahan menunggu kelahiran. Sejak 30 tahun yg lalu saya telah melalui kelahiran 7 orang cahaya mata dan 5 cucu. Setiap saat menunggu kelahiran mengundang kerisauan. Yang paling seronok ketika melihat bayi yang dilahirkan mula menangis...
begitulah sdra penabahari, tahniah! sdra punya ramai cahaya mata dan cucu. Satu cabaran buat saya. InsyaAllah, kalau fobia dah beransur hilang, Miza akan menambah saham untuk hari tua yang bahagia...
Post a Comment