Friday, July 07, 2006

Rumahku Seperti Taman Bimbingan Kanak-kanak



"Baguslah rumah kau suka dikunjungi kanak-kanak. Kau tahu murah rezeki kalau budak-budak selalu berkunjung ke rumah kau,"tutur abang Bet.

Begitulah keadaan "rumah kecilku tiang seribu". Setibanya sahaja aku di hadapan rumah sebaik balik dari kerja maka berbondong-bondonglah anak-anakbuahku membuntutiku sampai ke dalam rumah. Entahlah apa istimewanya aku di mata mereka atau sejukkah rumahku tempat mereka bermain... pertanyaan ini sering bermain di mindaku.

Aku biarkan saja anak-anakbuahku bermain bersama dua anak lelakiku yang masih kecil. Anak-anakbuah seronok di rumahku kerana aku menyediakan makanan ringan dan minuman untuk mereka sambil bermain barang mainan anakku yang bertimbun satu bakul besar. Entah ke mana kepala, entah ke mana badan, entah ke mana kaki tangan entah ke mana-mana mainan anakku yang sudah tidak cukup sifatnya dikerjakan anakku sendiri seperti lagak MacGiver pulak.

Aku memang cintakan kanak-kanak. Kerana aku pernah menjadi kanak-kanak. Kanak-kanak yang ceria. Kanak-kanak yang suka bermain sehingga sesat jalan mencari rumah bila Maghrib menjelma. Kanak-kanak yang suka mengadakan pertandingan nyanyian dan bakat sambil menyediakan hadiah kepada rakan2. Kanak-kanak yang suka main masak-masak (berdango). Seorang pelajar sekolah rendah yang aktif dan petah di dalam kelas sehingga menjadi harapan guru untuk cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Namun segalanya berkecai angkara terlalu yakin pada diri boleh buat sambil kuat bermain tanpa banyak membuat 'revision'. Dan peristiwa itulah yang membawa keinsafan yang berpanjangan kepada seorang kanak-kanak itu lalu terus-terusan beroleh kejayaan demi kejayaan dalam pelajaran sehingga kini bergelar seorang isteri dan ibu. (Guru kepada anak-anak dan anak-anakbuah).

Aku menyingkap peristiwa ini bukanlah bertujuan megah diri. Cuma cuba membawa keinsafan betapa pengharapan yang terlalu tinggi diletakkan seseorang kepada kita bisa saja menghancurkan diri kerana diri merasa begitu selamat dan selesa tanpa punya akal yang panjang dan arah tuju yang jelas.

Aku tidak menyalahkan kedua orangtuaku yang buta huruf tapi bijak sekadar memberi kebenaran kepada guru 100% untuk mendidik anak-anak mereka sehingga berjaya ke tahap ini. Wahai ibu bapa di luar sana, janganlah terlalu menekan anak-anak dan mengeluarkan ucapan yang mengecewakan pada anak-anak yang kurang kepintarannya mahupun lemah penerimaannya.

Dan aku akan menjalankan tanggungjawab besar sedikit masa lagi bila kakakku memintaku menjadi guru tusyien kepada 3 orang anaknya berumur sekitar 6, 7 dan 9 tahun. Aku menerimanya sebagai satu rezeki dan cabaran. Rezeki yang membawa aku untuk terus mengembangkan ekonomi keluarga. Cabaran sebagai seorang isteri, ibu, karier woman dan guru tusyein. InsyaAllah...maka bertambah meriahlah suasana rumahku nanti yang penuh dengan ilmu di samping menggalakkan anak-anakku yang masih kecil mengenal pembelajaran lebih awal. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha ku nanti. Amin...


Armiza Nila
Semariang Batu, Kuching
07 Julai 2006 (hari ini genap 9 tahun perkhidmatanku bersama kerajaan)

2 comments:

penabahari said...

teruskan perkhidmatan dengan penuh rasa tanggungjawab. Bagi saya, tempoh sebagai penjawat awam semakin pendek dan hampir ke hujungnya.

Armiza Nila @ Maslina Mahbu said...

InsyaAllah. Hanya Dia Yang Maha Melihat apa saja yang kita lakukan. Saya menghormati anda saudara Penabahari. Saya tidak mudah melatah dengan budak-budak muda dan baru sekarang yang lebih 'moden' pemikiran dan kelakuannya terhadap orang yang lebih senior. Mereka seperti bersikap 'terover terbuka'! Entahlah zaman semakin canggih dan manusia mendapat tempiasan hangatnya...begitulah saudara...