Gapena diminta tangani lima usul
Oleh Salbiah Ani
Persatuan Penulis Selangor gesa contohi MACP lindungi karya intelekNASIB penulis negara ini yang menjadi mangsa mainan licik media cetak mahupun elektronik diberi perhatian pada Mesyuarat Agung Tahunan, Persatuan Penulis Selangor (PPS) hingga beberapa cadangan dikemukakan dalam usaha mengatasi kemelut terbabit.
Pemangku Ketua Satu PPS, Datuk Dr Anwar Ridhwan, mengemukakan lima usul yang ditujukan khusus kepada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), selaku badan induk semua persatuan penulis seluruh negara, bagi memikul tanggungjawab membela nasib golongan terbabit.
Orang lama dunia sastera Malaysia ini yakin semua usul yang dikemukakan PPS itu menyebelahi hak, kepentingan dan masa depan penulis negara ini jika diterima serta dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab demi manfaat kelompok terbabit dalam jangka panjang.
Usul langsung berhubung perkara terbabit ialah meminta Gapena membentuk unit khas, Badan Pelindung Harta Intelek Penulis, memandangkan karya sastera mendapat tempat dalam media cetak dan elektronik berbahasa Melayu setiap hari, tetapi tiada badan yang memantau royalti atau honorarium mereka.
“Daripada maklumat yang diterima, tidak semua penerbit membayar honorarium atau royalti kepada penulis kecuali penerbit mapan. Ada syarikat mensyaratkan penulis mengirim salinan karya yang disiarkan ketika membuat tuntutan,” katanya dalam e-mel yang dikirimkan kepada penulis.
Mantan Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini, berharap Gapena memandang serius masalah tidak membayar honorarium atau royalti kerana tindakan penerbit yang berbuat demikian, seolah-olah mempermainkan harta intelek penulis seperti termaktub dalam Akta Hak Cipta 1987.
Anak syarikat Gapena, Gapeniaga Sdn Bhd, disaran menangani isu itu dengan membentuk badan pelindung harta intelek untuk penulis tanah air dan mengambil Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) sebagai model untuk bergerak.
Operasi MACP disaran diguna pakai kerana badan terbabit anyata berjaya membela nasib ahlinya yang mempunyai 2,100 ahli tempatan (lebih 2 juta ahli antarabangsa) dan mengawal 50,000 produk lagu/muzik tempatan (lebih 12 juta produk lagu/muzik antarabangsa).
Badan Pelindung Harta Intelek Penulis di bawah Gapeniaga bertanggungjawab menentukan kadar bayaran untuk genre karya yang disiarkan sebagaimana menjadi amalan MACP selain mewajibkan penerbit membayar kepada penulis melalui atau tanpa melalui Gapena dan badan terbabit pula mendapat komisyen.
Tidak ketinggalan, Gapena juga disaran membantu penulis mengambil tindakan undang-undang kepada penerbit jika ingkar membayar honorarium atau royalti kepada penulis sebagaimana yang dilakukan MACP dalam melindungi kepentingan ahlinya.
Dr Anwar turut menyarankan agar Gapena menggunakan komisyen yang diterima kelak bagi tujuan menjaga kebajikan golongan penulis uzur, kemalangan dan sakit tua iaitu langkah serupa yang diamalkan MACP dalam membela nasib ahli.
“Jika Gapena, dapat menangani perkara ini, tidak syak lagi badan itu akan lebih dihormati dan disanjungi penulis mahupun sasterawan tanah air kerana berasa badan terbabit turut memayungi serta melindungi harta intelek mereka, di samping dapat mengecap rezeki daripada setiap karya hasil titik peluh mereka,” katanya.
Gapena turut disaran mewujudkan Dana Penulisan Ismail Hussein bernilai RM10,000 atau RM15,000 setahun untuk diagehkan kepada penulis mapan atau penulis muda berbakat besar daripada pelbagai kaum yang berkarya dalam bahasa Melayu, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Bagi menjamin karya yang dihasilkan boleh diterbitkan, Gapena diminta mengadakan persefahaman dengan DBP memandangkan badan terbabit mempunyai rekod cemerlang berkaitan Perjanjian Lesen Penerbitan dan bayaran royalti kepada penulis sebagai langkah melindungi harta intelek.
“Pemberian itu boleh diberikan kepada penulis dari genre cerpen, drama, esei/kritikan, novel dan puisi manakala penerbitannya pula diadakan persefahaman dengan DBP memandangkan badan terbabit mempunyai rekod cemerlang berkaitan Perjanjian Lesen Penerbitan dan bayaran royalti,” katanya.
Program berkenaan diyakini mampu memperlihatkan keprihatinan Gapena kepada aspek pengkaryaan pengarang Malaysia dan boleh menyemarakkan lagi penghasilan karya sastera tempatan yang bermutu tinggi.
Gapena juga diminta mengadakan persefahaman jangka panjang dengan DBP dan Institut Terjemahan Negara Malaysia Bhd (ITNMB), bagi melaksanakan program terjemahan karya sastera dan mempromosi karya sastera serta sasterawan nasional yang menulis dalam bahasa Melayu.
“Mutakhir ini hampir tiada karya pengarang nasional negara ini yang diterjemahkan ke bahasa asing dan dipromosikan pada peringkat antarabangsa.. Sudah tentu kalangan penulis mengharapkan Gapena memahami situasi kalut dan membimbangkan ini memandangkan negara lain terus meningkatkan promosi karya sastera dan sasterawan mereka,” katanya.
Dalam ucapannya itu, beliau turut mencadangkan Gapena menganjurkan Siri Tahunan Mengenang Penulis dan Sasterawan agar sumbangan dan jasa sejumlah penulis dalam mengembang dan memperkasakan kesusasteraan Melayu diingati serta diperkatakan saban tahun agar diketahui khalayak.
Program terbabit dicadang dilaksanakan secara jangka panjang itu (sehingga 2010) dan diadakan dengan kerjasama DBP serta Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) di samping tidak bersifat ad hoc.
Selain itu, Dr Anwar turut berharap Gapena tampil sebagai ‘pemangkin gerakan dan penataran penulis muda dengan mengadakan program bersistematik dan berkesinambungan kepada kelompok terbabit kerana melaluinya mereka dapat menambah pengalaman mematangkan diri sebagai penulis dan aktivis.
“Hampir semua pimpinan persatuan penulis di Malaysia termasuk Gapena dan PPS dipimpin ‘orang lama’. Keadaan ini jangan sampai membuat pimpinan persatuan penulis merangka program yang pada umumnya sesuai dengan ‘rasa’ serta aspirasi ‘orang lama’ saja,” katanya.
Armiza Nila
p/s (sumber dipetik dari Berita Harian, Khamis, 26.7.07
Pemikiran Telus
15 years ago
2 comments:
Salam hormat.
Kita (golongan penulis) di Sarawak, amat segan dan tersipu-sipu untuk menanyakan kadar bayaran honorarium hasil penulisan kepada pihak penerbit.
Sebuah puisi dibayar RM50.OO
Cerpen pula dibayar RM100.00
Sungguh lumayan bukan?
Salam hormat.
Salam.
Saudara, saya sendiri menghantar karya ke pihak penerbit tanpa mengharapkan honorarium. Seperti kata saudara, 'saya segan' utk bertanya berapa.
Utusan Sarawak selalu menerbitkan karya saya tanpa saya mengharapkan honorarium.
Sudah terbit saja hati saya sudah berbunga ria.
Begitulah...
Post a Comment