Saturday, March 12, 2011

Manusia dan kemanusiaan

Sejak kebelakangan ini, dalam diam, aku sudah terlalu banyak melihat,mendengar dan turut merasai kezaliman yang dilakukan oleh seorang manusia kepada manusia lain. Manusia sudah semakin hilang kemanusiaannya.

Kekadang aku gerun melihat sikap manusia yang hanya mementingkan diri sendiri malahan suka mengganggu periuk nasi orang lain. Manusia jenis apakah itu yang sanggup meletakkan dirinya selalu ke atas sehingga menindakkan kebolehan orang lain.

Aku minta dijauhkan Allah dari manusia-manusia seperti itu. Setelah mengalami pelbagai dugaan dan ujian dari Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kerana masih memberikan aku kesempatan untuk menghirup udara segar sehingga ke saat menaip entri ini, aku bersyukur yang amat untuk terus meladeni kehidupan-kehidupan mendatang dengan lebih berwaspada. Orang hanya memandang luaran sahaja tetapi bagi yang mengalami sendiri sesuatu penyakit itu, hanya dia yang mengetahui dan merasainya. Memang betul penyakit dan kesembuhan itu kedua-duanya datang dari Allah. Janganlah semberono kita menyalahkan manusia lain. Beruntung rasanya mengalami pengalaman perit seperti itu walaupun pada mulanya perasaan putus asa menyelinap cuba menggoyah iman dan kesabaran sebagai seorang Muslim.

Adakah kerana sikap terlalu berdiam, tidak melawan, jujur atau lurus bukan bendul membuatkan orang lain sewenang-wenangya berbuat sesedap hati dan sesuka rasa pada sesama insan. Aku selalunya memilih damai meskipun apa yang telah aku alami itu amat menyakitkan dan menggerunkan untuk diceritakan. Hanya kepada Allah aku berserah. Mudah-mudahan aku sentiasa mendapat perlindungan dan pertunjuk hidayah daripadaNya dan tidak menyesatkan hatiku. Amin.

Segala penyelewengan akhirnya terbongkar sudah. Aku hanya senyum sinis. Bukan tanda gembira cuma berasa doa yang selalu dititipkan termakbul jua. Jika Allah mahu, di dunia lagi balasan akan diberi kepada orang yang suka menzalimi orang lain.

Dibuli dalam diam, dihina, dikeji, dijaja seakan satu lumrah yang menjadi kebanggaan. Manusia tidak serik-serik menghambur fitnah, menabur dosa demi kepentingan dirinya. Aku takut mendengar cerita-cerita penyalahgunaan kuasa mahupun penyelewangan yang sungguh berani dilakukan manusia itu.

Akhirnya aku memilih untuk mengundur diri. Bukan kerana aku takut berhadapan dengan kenyataan tetapi aku rasa penghijrahan adalah lebih baik daripada terus menjadi bahan mentah-mentah untuk dijaja atau diperas-peras tanpa perikemanusiaan. Aku masih ada kredibility. Aku punya integriti dan bukan sembarang orang yang boleh diperkotak-katikkan.

Aku menulis bukan ikut perasaan tapi aku menulis untuk sebuah perkongsian. Mudah-mudahan ada kesedaran. Amin.

3 comments:

mohamadkholid said...

jangan lupa mata pena lebih tajam dr mata pedang...

Maslina Mahbu @ Armiza Nila said...

Salam, insyaAllah sdra Mohamad Kholid, saya akan perjuangkan mata pena selagi terdaya..terima kasih atas ingatan saudara..

Anonymous said...

sye sedar tentang manusia dan kemanusian.