Friday, January 19, 2007

MAAL HIJRAH 1428 H


Pagi tadi, saya menerima sms seorang teman dari JPN Lawas - Saudara Ramlah Buntak - ucapan Maal Hijrah 1428H. Saya amat terharu dengan hubungan kami ini.
Kami bertemu secara kebetulan semasa menjadi peserta Kursus Perkhidmatan Pelanggan di Limbang tahun 2006. Perhubungan diteruskan selepas itu dengan berhubungan telefon dan sms sehingga beliau sudi bermalam di teratak kecil saya selesai tugas rasmi di JPN Kuching. Mulai saat itulah peristiwa menjejak kasih suami dengan keluarga kandungnya terjadi.
Dan saya amat menghargai usaha Ramlah yang telah menemukan suami dengan keluarga kandungnya di Sualai, Lawas. Pun saya menghargai Ramlah kerana setiap kali perayaan Islam, beliaulah orang pertama yang akan menitipkan ucapan buat saya. Saya juga terharu hari ini kerana tidak dapat membalas sms-nya kerana kehabisan tempoh perkhidmatan - kredit masih ada.
Apapun, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1428H bermula petang ini dengan membaca doa akhir tahun lima belas minit sebelum Maghrib dan doa awal tahun selepas Maghrib. Semoga tahun baru ini menghijrahkan saya dan kita semua ke arah kecemerlangan dan kejayaan yang semakin mematangkan kita.
Marilah kita lupakan segala kepahitan yang telah mencomotkan kehidupan kita sepanjang 1427H. Kejayaan yang kita capai sepanjang tempoh itu akan terus mendorong kita untuk lebih berpendirian dan terus berpegang teguh kepada tali Allah dalam memperjuangkan kebenaran biarpun sekadar dengan tangan dan tumpah fikir seorang penulis - kita sebenarnya berdakwah secara diam untuk kebaikan.
Marilah kita mendoakan kesejahteraan isi bumi ini. Amin....
Armiza Nila
Semariang Batu
29 Zulhijjah 1427H

No comments: