Tuesday, September 04, 2007

Belanjawan Untuk Para Wanita...

Bijak Menabung: Labur saham amanah tiada risiko


TIGA dekad lalu, mungkin kita pernah mendengar ada kalangan suri rumah menyimpan wang mereka dalam tin susu, di bawah bantal ataupun tilam untuk kegunaan masa susah. Ketika itu mereka mungkin tidak pernah mendengar istilah simpanan jangka masa panjang tetapi apa yang dilakukan adalah bagi memastikan mereka mempunyai wang pada saat kecemasan ataupun untuk kegunaan masa depan.

Muktahir ini, ramai wanita yang mula prihatin perlunya menabung untuk hari tua. Walaupun tidak ramai yang memahami mengenai simpanan dan pelaburan namun daripada kajian yang dijalankan didapati wanita lebih bertanggungjawab terutama apabila menjadi peminjam di institusi kewangan berbanding lelaki.



Sehubungan itu, wanita bekerjaya ataupun yang mempunyai perniagaan sendiri perlu memasukkan perancangan kewangan sebagai salah satu agenda penting dalam kehidupan mereka seharian. Mereka perlu memikirkan masa depan misalnya dengan menentukan matlamat jangka pendek termasuk di segi peningkatan kerjaya ataupun menyambung pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi.

Mereka juga harus menentukan matlamat jangka masa sederhana dengan merancang untuk membeli hartanah untuk kediaman sendiri ataupun sebagai pelaburan bersama suami. Selain itu, mereka perlu ada simpanan tambahan dengan kecanggihan teknologi perubatan masa kini, wanita didapati hidup lebih lama daripada lelaki. Kajian 2004 mendapati jangka hayat lelaki 70.3 tahun manakala wanita pula 76.2 tahun. Justeru, wanita perlu memikirkan kehidupan mereka pada masa depan dengan membuat persediaan rapi agar tidak menjalani kehidupan sukar di kemudian hari.

Salah satu cara yang boleh mereka lakukan adalah dengan membuat tabungan bulanan dalam saham amanah untuk tempoh lima atau 10 tahun.

Wanita bekerja dan mempunyai keluarga, biasanya bukanlah pelabur berisiko tinggi dan pilihan paling tepat bagi mereka adalah dengan melabur dalam saham amanah. Ramai yang tertanya-tanya apakah itu saham amanah dan terkeliru dengan membuat andaian bahawa saham amanah adalah sama seperti membeli saham di Bursa Malaysia.


Andaian itu tidak tepat sama sekali. Pelaburan yang dibuat di Bursa Malaysia adalah pelaburan secara langsung sedangkan saham amanah pelaburannya diagihkan dalam beberapa porfolio termasuk bon, simpanan tetap, bil-bil perbendaharaan kerajaan, pelaburan luar negara dan juga pelbagai kaunter dalam Bursa Malaysia.

Kepelbagaian pelaburan ini yang menjadikan saham amanah itu stabil dan berisiko rendah sementara mampu memberi pulangan tinggi, purata antara 10 hingga 15 peratus setahun. Pulangannya menerusi tiga cara iaitu dividen, bonus unit dan juga peningkatan atas modal dan ia bergantung pada matlamat dana yang dipilih.

Dalam pelaburan,ungkapan yang biasa didengar: Jangan letak semua telur dalam satu bakul, ada baiknya mempunyai banyak bakul telur kerana jika satu jatuh dan terpecah, ada yang lain lagi untuk menampung. Konsepnya sama dalam saham amanah terutama yang dikendalikan oleh institusi kewangan kerana pelaburan ini dikendalikan pihak profesional yang diselia Suruhanjaya Sekuriti dan dipantau oleh Bank Negara Malaysia.

Pelaburan dalam saham amanah perlu seiring dengan matlamat individu iaitu bagi tabungan jangka masa sederhana dan panjang, untuk tempoh lima ataupun 10 tahun. Yang menjadi cabarannya apabila pelabur tidak mempunyai masa tempoh masa minimum sekurang-kurangnya tiga tahun. Dalam saham amanah, selain wang, faktor masa menjadi aset terpenting.

Perancangan hari ini bakal menentukan kehidupan kita masa depan. Ramai yang mula bekerja begitu ghairah berbelanja sedangkan ada baiknya sediakan payung sebelum hujan dan beringat-ingat sebelum terkena. Apabila sikap boros menjadi kelaziman hidup, peritnya akan terasa pada masa depan kerana tidak mempunyai tabungan ataupun simpanan. Hidup perlu dinikmati tetapi biarlah berpada-pada dalam berbelanja supaya tidak menyusahkan diri sendiri.

Ungkapan sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit seharusnya menjadi amalan. Wanita yang memperuntukkan sebahagian wang gajinya sebagai simpanan adalah wanita berwawasan yang prihatin kehidupan mereka masa depan. Jika mereka menabung sebulan RM200 selama 10 tahun dengan kadar purata pulangan 12 peratus setahun, simpanan mereka akan berkembang RM46,500 dan jika mereka terus menyimpan lima tahun lagi, jumlah ini akan berkembang pada RM101,000!

Pelaburan ini bersifat kumulatif. Contoh paling mudah, katakan ketika ini anda membeli sebuah rumah dua tingkat yang harganya RM150,000 dan anda membuat pinjaman bank sebanyak RM130,000 untuk tempoh 30 tahun. Setiap bulan anda membayar RM1,200 dan jumlah keseluruhan bayaran balik anda adalah RM432,000. Mekanismanya sama cuma kini dengan membuat tabungan bulanan secara konsisten, anda memberi peluang wang anda bekerja lebih keras untuk anda!

Bayangkan RM50,000 yang anda miliki kini berkembang lebih RM200,000 dalam tempoh 15 tahun seandai anda meletakkannya dalam instrumen pelaburan yang mampu memberi pulangan 10 peratus setahun. Jika pulangannya 12 peratus setahun pula, nilai tabungan anda adalah RM274,000 dan jika pulangannya 15 peratus, simpanan anda berkembang lebih RM400,000!

Tanya diri dan bukalah minda. Jadilah pelabur bijak!

Artikel ini ditulis oleh Perunding Kewangan, Inspired Vision Agency, Kelana Jaya, Suraiya Mohd Nor. Ingin mendapatkan maklumat lanjut, hubungi beliau di talian 013-3311981 atau e-mel: suraiyanor@yahoo.com.

Armiza Nila : Sumber Dari Berita Harian, Khamis, 4.9.07
p/s.....diharap selepas ini saya dan seluruh kaum wanita bijak menabung utk masa depan kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada waktu itu nanti....sediakan payung sebelum hujan....

No comments: