Thursday, December 28, 2006

Raya Haji dan Tahun Baru 2007




Salam,


Tinggal beberapa hari saja lagi kita akan menyambut 'Idul Adha dan Tahun Baru Masihi 1 Januari 2007. Kedua-dua sambutan memberi makna yang mendalam kepada kehidupan para ummat.

Korban bukan saja dari segi material malah ia merangkumi pelbagai aspek atas kemampuan individu masing-masing. Pengorbanan banyak takrifannya. Betapa kita harus bersyukur dengan segala limpah kurnia-Nya selagi bernafas di bumi bertuah ini.
Para ibu tidak kurang pengorbanannya dalam mendidik dan membesarkan anak-anaknya dalam apa cara sekalipun. Para bapa berkorban jiwa dan raga mencari sesuap nasi dan susu untuk peningkatan hidup anak isterinya. Segala penat lelah bukan lagi jadi kayu ukur atas tanggungjawab yang sememangnya sudah terletak di bahu insan bernama manusia yang ikhlas memperjuangkan hidupnya semata-mata kerana Allah S.W.T.
Walau apa pun, seringkali insan itu lupa diri pabila meraikan sesuatu perayaan lebih dari sambutan yang sebenarnya dibenarkan oleh Islam. Biarlah kita berpada-pada kerana bumi ini semakin tua sebenarnya seiring dengan pertambahan tahun dan kurun. Kita jangan terus alpa didodoi mimpi-mimpi indah semata.
Peristiwa Tsunami contohnya masih segar di ingatan. Tempoh 2 tahun masih terlalu muda masanya untuk memulih keadaan mahupun perasaan mangsa. Kita sewajarnya insaf akan kejadian-kejadian seumpama itu dan bersyukurlah kerana kita masih terpilih untuk tidak menghadapinya malah sekadar melihat dan mendengar di kaca tivi mahupun di surat khabar ataupun internet. Betapa Allah murka dengan keangkuhan insan bernama manusia itu! Segala suruhanNya diabaikan dan apa yang dilarangNya menjadi ikutan pula. Na'uzubillahimindzhaliq! Semoga Allah menjauhkan segala kejahatan nyata seperti itu.
Kita sering dihantui masa depan yang masih kabur meskipun kita tetap terus berusaha membina kehidupan yang sempurna dan sebaik mungkin. Selainnya terserah kepada takdir Illahi. Jangan jadikan peristiwa-peristiwa dahsyat itu untuk kita terus berpeluk tubuh dan bersenyum lebar tanpa membuat apa-apa pun persediaan. Marilah menuju kesedaran lebih-lebih lagi bermula dari dalam rumah dan keluarga kita sendiri.
Semoga 'Idul Adha dan Tahun Baru 2007 ini akan tambah menginsafkan kita akan masa yang semakin terpinggir dan bagaimana harus kita melangkah laju dalam mengejar kejayaan untuk hidup di dunia mahupun di akhirat dengan keberkatan dan keredhaan-Nya.
Ingatlah, setiap kesusahan itu sudah pasti ada jalan penyelesaiannya. Dan setiap kesenangan itu haruslah dikongsikan pada mereka yang sepatutnya menerimanya. Berkongsilah menikmati kurniaan-Nya dan janganlah kita memakai pakaian kesombongan dan keangkuhan sebelum menyembah bumi ini!
Armiza Nila
Semariang Batu.

No comments: