Thursday, November 09, 2006

Mengenang Sualai


01 Otober 2006, pertama kali saya dan keluarga menjejak kaki ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat Air Asia selama satu jam setengah.

Setiba di Airport KK, sudah ramai orang menunggu sanak saudara. Belum sempat kami meninjau keluarga suamiku yang tak pernah dikenal paras rupa sebelum ini, tiba-tiba seorang wanita 40-an menghampiri suamiku.

"Kamu Si Nafie,"tanyanya sembari menangis tiba-tiba.

Suamiku yang terdiam hiba mengangguk perlahan-lahan.
Lantas dua orang wanita 40-an dan seorang kanak-kanak perempuan manis memeluk dan mencium kami empat beranak sambil menangis pilu tanpa menghiraukan kesibukan orang ramai yang lalu-lalang. Aku turut terhiba.

Kakak suamiku bernama Lina yang menegur kami mengetahui wajah kami melalui gambar yang dikirim pada rakanku Ramlah beberapa bulan yang lalu. Katanya wajah Si Nafie mirip wajah Abangnya Si Seven (Tujuh).

Maka bermulalah perjalanan menjejak kasih suamiku di bulan Ramadhan yang penuh barakah.

Perjalanan menuju Lawas dari Kota Kinabalu yang sebenarnya mengambil masa 3 jam menjadi 6 jam kerana kami banyak singgah seperti di Beaufort dan Sipitang dan aku pun dah tak ingat lagi nama tempat lainnya. Kami selamat sampai ke Kampung Sualai tepat jam 7.30 malam.

Kedatangan kami pada malam itu disambut meriah oleh semua adik-beradik dan keluarga kandung suamiku. Macam pengantin baru pulak lagaknya. Riuh-rendah bunyi rumah suamiku menyambut kehadiran kami. Kami lantas dijamu jamuan malam dengan sambal ikan tahai, sup ikan tahai, sambal asam, kari ayam dan sayur kobis tumis. Malam itu kami makan beramai-ramai dan berbual sehingga lewat malam. Semua keluarga suamiku bermalam di rumah ibunya di Sualai.

Armiza Nila
09.11.06

...bersambung

Thursday, November 02, 2006

Inilah keluarga kandung suamiku


inilah suasana hiba berbaur ria tatkala mau meninggalkan keluarga besar (kandung) suamiku di Kampung Sualai, Lawas

Armiza Nila
2 nov 2006

Hulubalangku


hulubalangku
kaulah pelindung mama
kaulah mutiara jiwa!

armiza nila
semariang batu
2 Nov 2006

Wednesday, November 01, 2006

Kepada Sang Suami

Salam hormat,

kepada sang suami di luar sana- fahamilah keadaan yang melanda isteri-isteri anda sekalian tika dia sedang bergelut mengandungkan anak-anak dari benih anda. Saat mengidam adalah period yang amat mencabar keimanan dan kesabaran segelintir wanita yang mengandung. Itulah yang dialami saya- bukan sekali dua malah kali ini yang ketiga keadaannya tetap serupa.

Apa saja yang masuk ke dalam mulut dan perut saya pasti akan terkeluar balik melalui mulut kerana mual yang teramat (morning sickness) yang teruk kata doktor. Sehinggakan kadang2 saya memaksa diri untuk tidak menyentuh apa2 makanan atau minuman buat seketika lantaran merajuk pada diri sendiri. Anehkan... saya paling tidak dapat menerima makanan berunsur protein seperti daging, ayam, ikan, susu, milo, minyak, bawang dan seangkatannya. Kekadang saya hanya bergantung kepada sayuran dan buah2 an saja termasuklah air kosong.

Entahlah berapa lama saya akan menghadapinya. Kandungan sudah mencecah tiga bulan, keadaan kesihatan saya tidak menentu seperti pasang surut air. Sedikit sebanyak rutin tugas saya di pejabat terjejas. Saya memohon ehsan boss yang mana prihatin dengan keadaan saya. Saya sebenarnya takut pekerjaan saya menurun gara-gara hamil. Namun apakan daya, itu saja kemampuan saya. Biarlah saya merangkak-rangkak untuk menyiapkan apa yang patut dan saya sentiasa sedar akan tanggungjawab saya.

Ketiadaan suami, saya memandu kenderaan sendiri ke pejabat dengan pening-pening kepala dan 'nyawa' yang mual. Sesekali saya berhenti di persimpangan jalan untuk muntah. Inilah dugaan yang maha hebat pernah saya alami semasa mengandung. Kekadang saya menangis sendirian. Namun segalanya sudah ditetapkan dan saya menerimanya seadanya walaupun dengan hati yang berat.

Sakit ini bukan nak mengada-ada tapi adalah buatan sang lelaki (suami)...kata teman lelaki sepejabat SAKIT BUATAN!

Armiza Nila
POLIKU
1 Nov 2006

Monday, October 30, 2006

Salam 'Idul Fitri Daripada Armiza Nila and Family

Waktu Asar, petang Ahad 6 Syawal, Armiza Nila sibuk di rumah bonda kerana ada 'open house' acara makan-makan nasi, mi goreng dan lauk pauk daging ayam, kambing, lembu dan ikan tahai berserta ulam-ulaman.

Dalam keriuhan orang ramai dan rakan2 Armiza Nila yang sudah pulang setelah kekenyangan, Armiza Nila terlihat kelibat Bang Sajali menyusuri jambatan panjang menuju ke rumah bonda. Miza lantas mengepung dari belakang. Tidak salah - YusufFansuri, Bang Sajali bersama Zainal Abidin, berjalan dikit-dikit meniti jambatan panjang ke rumah saya.

Kunjungan Asar itu, amat bermakna buat Armiza Nila dan keluarga. Biarpun beraya tanpa suami yang bertugas di sempadan demi mempertahankan negara, Armiza tetap gembira dengan kunjungan kerabat API. Yang lucunya mereka bertiga bergambar sakan macam lagak YB mengunjungi kawasan pedalaman...ada projek baru nak masuk agaknya. Dari depan jambatan sehingga ke beranda belakang rumah Armiza habis diambil gambar oleh mereka bertiga.

Armiza Nila ditemani Adib dan 'Irfan gembira menyambut kehadiran kerabat API. Yusuf Fansuri begitu mesra dengan anak-anak Armiza Nila....tanda2 awal menjadi suami dan ayah sudah nampak pada perlakuan Yusuf terhadap anak-anak..hehehe...jangan marah Suf.

Percakapan sekitar sastera dan aktiviti yang akan dijalankan oleh API. Walaupun Armiza Nila semacam 'darurat' kerana masih dalam 'mengidam' yang teruk, namun pergerakan penulisan tetap diteruskan atas tulang belakang kerabat API.

Kesempatan ini Armiza Nila-Maslina Mahbu, Mohamad Hanapiah Baki, Muhammad 'Irfan Musaiyar Mohamad Hanapiah dan Muhammad Adib Nifail Mohamad Hanapiah mengucapkan salam 'Idul Fitri buat kerabat API dan seluruh kaum muslimin dan muslimat di seluruh dunia.

Semoga kemenangan ini akan berterusan sehingga ke akhir hayat kita. Amin

Armiza Nila
Semariang Batu
7 Syawal 1427H, 30 Nov 2006

Sejarah Tercipta di Lawas

Salam,

sejak kembali dari Lawas, Armiza Nila belum berkesempatan mengupdate blog lantaran bebanan tugas yang melambak dan maha segera di kantor.

InsyaAllah, dalam sedikit masa lagi Armiza Nila akan mencoretkan catatan kenangan di Lawas buat tatapan di blog kesayangan ini.

Armiza Nila
30.11.06

Friday, September 29, 2006

Ke Lawas

Salam,

Saya, suami dan anak-anak akan menjejak kasih ibu dan adik-beradik kandung suami saya di Lawas. Kami akan berangkat dengan pesawat Air Asia ke Kota Kinabalu, Sabah dan akan dibawa ke Lawas oleh kakak suami dengan jangka perjalanan 2 jam setengah.

Atas dasar anak yang seharusnya menyusuli ibu, saya dan suami nekad ke Lawas walaupun dalam bulan puasa kerana keadaan ibu mertua yang sakit-sakit.

InsyaAllah, di Lawas saya akan mencipta sejarah baru yang pasti bakal di kongsikan buat rakan pembaca dan peminat sastera.

Cuma doakan perjalanan pergi dan kembali kami sekeluarga pada 01 Oktober hingga 07 Oktober 2006.

Salam ukhuwah, salam Ramadhan.

Armiza Nila

Thursday, September 21, 2006

untuk kesekian kalinya....


Saya diserang sakit-sakit badan selama 2 hari berturut sehinggakan terlalu lemah untuk bangkit dari lena. Sengalnya bukan kepalang. Pening kepala yang bukan-bukan. Tidur yang kurang enaknya. Langsung hari kedua membawa suami ke klinik swasta berhampiran.

Dalam hati, saya memang menjangkakannya, cuma pengesahan Doktor lebih elok demi kesihatan. "Tahniah! Anda memang tak dapat 'disentuh',"kata Dr. Aisyah dengan ramah.
"Kandungan anda baru berusia 5 minggu," tegasnya. Lantaran terlalu lemah aku diberikan cuti sakit satu hari.

Sejak itulah sehingga ke saat ini, sekujur armiza nila bagaikan nak terlentang 24 jam di atas empuk tilam. Apakan daya karier tetap diteruskan biarpun berdikit-dikit. Menulis. Oh ya, menulis pun armiza nila berdikit-dikit sambil membaca blog2 teman sastera bagi mengasah minda dan memperkaya perbendaharaan kata.

Armiza Nila tidak akan berhenti di sini. Saat tenang, armiza nila akan pergunakan sepenuhnya.

Kasihan Si Adib Nifail. Baru setahun 20 hari, lagaknya masih terlalu manja pada mama. Merengek berkali-kali waktu lenanya. Kata ibu, adiknya di dalam perutku, lantaran itu Adib cemburu. Adib tidak puas dimanja pelukcium. Adib menagih kasih mama. Apatah lagi 'Irfan Musaiyar, demamnya baru kebah. Dua hari mama bersengkang mata. 'Irfan tak berganjak dari tilamnya. Alhamdulillah, mama sudah mampu lega meski manja 'Irfan melebihi adiknya Adib. Anak-anak, siapalah kalian, cuma tahu mengharap perhatian dan kasih mama tanpa mau tahu keperitan yang mama lalui untuk melahirkan adik-adik seterusnya - membesarkan keluarga kita.

Untuk kesekian kalinya... Armiza Nila akan menempuh 'tofan durja' dengan gagah jiwa perkasa minda biarpun armiza nila terpaksa merangkak2 perlahan-lahan.

Armiza Nila
Semariang Batu
21.09.2006

Friday, September 15, 2006

Maghrib di Langit Teluk Kemang



Maghrib di langit Teluk Kemang
cahaya jingga menyelubung wajah cakerawala
saat tabir siang dilabuhkan

oh Tuhan!
betapa kebesaran-Mu
tiada bandingan
tak tertutur bicara
bagi mengungkap
kesenian dan keindahan
ciptaan-Mu
ya Tuhan!

Armiza Nila
Teluk Kemang
Port Dickson
17 Ogos 2006

Wednesday, September 06, 2006

Hari Lahir Pertama Muhammad Adib Nifail

Malam tadi, 5 September 2006, hari lahir yang pertama Muhammad Adib Nifail disambut lewat 5 hari yang sepatutnya jatuh pada 01 September 2006. Ketika itu, mama masih pergi berjuang di medan rasa dan jiwa sebagai orang awam yang dilatih tentera. Ciuman mama sampai ke wajah mungil Adib tepat 02 September 2006 sebaik saja latihan khemah tahunan tamat. Kebenaran pulang awal ke tempat masing-masing diberikan kepada anggota yang bertugas dengan kerajaan/swasta pada Isnin - 4 September 2006.

Petang semalam, mama ditemani anak2 buah memasak ala kadar untuk jemputan di kalangan adik-beradik dan anak2 buah sendiri sahaja. Sambutan kecil2an untuk memeriahkan hari lahir Adib yang petah 'kelaka ulat'. Perkembangan anak ini cukup berbeza daripada kakandanya 'Irfan. Adib sudah bisa berjalan dalam usia genap 11 bulan dan mula bertutur pelat dalam tempoh menjangkau 12 bulan. Kini Adib sudah bisa berlari kencang dan berani naik 'kuda rotan' sendiri2 dengan tangkasnya menghayun kaki dan tangan menghenjutkan badan dan kepala 'kuda rotan'. Happynya Adib tanpa risau atau memperdulikan keresahan dan kegusaran mama lantaran kelincahan sikapnya.

Adib batuk sembari muntah2 dalam tidur selepas acara ulangtahunnya sekitar 11 malam. Saya cukup bingung dengan kesihatannya. Tapi kata orangtua, "aik mansang" - tahunnya berubah - itulah sebabnya hormon Adib bertukar sering demam2. Pagi ini Adib dibawa ke klinik atas temujanji di KIAMJ untuk suntikan MMR genap 1 tahun. Sekali sahaja tangisan Adib kedengaran. Ternyata Adib anak yang tabah dan kuat. Hakikatnya mama lahirkan Adib dalam keadaan cukup menakutkan sehingga pernah terasa fobia mahu melahirkan. Tapi kemanjaan, kemesraan dan keberanian yang ditonjolkan Adib membuatkan mama berubah fikiran dan insyaAllah akan menambah saham...

Semoga Allah panjangkan usia, murahkan rezeki dan pertingkatkan kepintaran Muhammad Adib Nifail untuk menjadi mukmin yang berjaya dan berguna kepada masyarakat dan negara Islam.

Armiza Nila
Kg Semariang Batu
6 Sep 2006

Di mana - gila kuasa




di mana saja kuberada
ia tetap memagariku
cuba menidakkan kebolehanku

aku sedar diri
ada nama
ada pangkat
ada kuasa
tapi aku
tak gila kuasa

di kantor
di markas
di medan
di kelas
di meja pegawai gaji
gila kuasa merajalela
menghentak-hentakkan dirinya
dalam dalam diri setiap manusia
yang lapar dahaga
air gila
air kuasa
alir letrik
mencantum
dalam benak
dalam sukma
dalam hati
dalam kepala
terpacul ringan
dari seulas bibir-bibir durjana!

gila kuasa
kau takkan ke mana
akhirnya kau kan kecundang juga
menyembah bumi
lebur jadi sia-sia...

Armiza Nila
Kem Semboyan, Kota Samarahan
06 September 2006

Tuesday, September 05, 2006

Thursday, August 10, 2006

Puisi : Bahasa Kepada Lelaki

Pagi ini, saya dikejutkan oleh sepucuk surat dari DBPCS. Pada mulanya saya tidak merasakan apa2 kerana Huzna Sait telah menghubungi saya minggu lepas bertanyakan alamat tempat kerja kerana menjemput saya semasa Hari Penyampaian Hadiah DBPCS.

Dan... tika membaca satu-persatu isi kandungan surat itu, saya semacam tidak percaya bahawa saya bakal menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2005 daripada DBPCS. Tidak terlintas di fikiran saya, puisi spontan yang selalu jadi amalan saya termasuklah puisi "Bahasa Kepada Lelaki" yang saya lahirkan dari kemelut hari-hari yang saya hadapi dalam melewati kancah kehidupan sebagai seorang isteri, ibu, anak, adik mahupun kakak...akhirnya membuahkan hasil yang tidak terhingga.

Saya hanya mampu mengucap Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah... atas rezeki ini.

Saya tidak dapat menghadiri majlis ini kerana ber'outstation' di Negeri Sembilan. Siapa2 pun wakil saya nanti, saya juga mengucapkan terima kasih kepada "lelaki-lelaki" ini yang telah mencetus fikiran saya untuk terus menghasilkan puisi termasuklah karya kreatif lain, insyaAllah. Terima kasih juga kepada DBPCS kerana begitu prihatin terhadap penulis2 kerdil seperti saya.

Semoga perkongsian ini membuahkan semangat kepada segenap rakan penulis terutamanya kerabat API untuk terus memperjuangkan semangat diri demi semarak Sastera Sarawak...

Armiza Nila
10 Ogos 2006
@ A.P.I

Puisi : Bahasa kepada Lelaki

suntikkan sapa dalam bahasamu
masukkan lembut dalam suaramu
masakkan sopan dalam gerakmu
cernakan hormat dalam tingkahmu
- bahasa kepada lelaki -
gerutunya menjentik naluri
sang hawa yang perlu dimanisi
lenggok gemalai bahasamu lelaki
melebur lahar dada sang pertapa
bertuahnya kau dianugerahi
permintaanmu dituruti
kau tidak lagi sunyi
getarmu ada penenang kini
sang hawa bukannya hamba abdi
kau tengking sesuka hati
ia harus dihalusi
segenap bongkak tersembam di bumi
kau kuasai diri
olah bahasamu yang kasturi
setanggi benakmu kenanga sari
mewangi taman larangan ini
manis tebu di bibir
meresap ke dasar nubari
merentap kasar lubuk derhaka
menjadi semurni sungai yang mengalir
dari air terjun gunung serapi
bangga menepuk dada
kerna bahasamu lelaki
indah selubungku!
Armiza Nila
POLIKU
14 Jun 2005

Monday, August 07, 2006

Ogos Dan Kursus

Salam---

Saya akan meninggalkan pejabat dan berada di outstation hampir sepertiga ogos dan sepersatu September. Bermula hari ini (7 Ogos 2006) jam 2.oo pm sehingga 09 Ogos 2006, saya berkursus di JAKIM, Telaga Air untuk menimba ilmu menjadi isteri, ibu dan anak yang baik dan berjaya dalam membina keluarga Islam yang diredhai Allah. Kemudian pada 17 hingga 20 Ogos saya akan berangkat ke Negeri Sembilan , kursus urusan tugas baru. Dan akhir sekali disusuli Latihan Khemah Tahunan Askar Wataniah di Lapang Sasar Sempadi dan Kem Semboyan, Kota Samarahan mulai 21 Ogos sehingga 03 September 2006.

Mohon maaf jika saya tidak dapat mengupdate blog saya dalam tempoh berikut.

Walau apapun, saya tetap meneruskan minat menulis ini sehingga ke titisan darah dan hembusan nafas yang terakhir...

Salam hormat,
Armiza Nila
07 Ogos 2006
Poliku.

Friday, August 04, 2006

Puisi untuk Anjung Budi





Puisi : Merdekalah sukma Bonda
Karya : Maslina Mahbu @ Armiza Nila

Merdekalah sukma Bonda

Dalam melewati jangka perjuangan
yang maha hebat, padat
kecil lalu membesar, berat
meniti zikir di bibir, berbaur sembur tekad hati
bukan melawan takdir, menyingkir getir
menyelimut sebatang sukma kembara
sengsara adalah manisan nikmat tiada tara
merempuh aspal payah berdarah
demi sebuah cinta!

Di dada bonda
tercipta peta dan sejarah lara
menyambut seru dan azam jitu
mengikaterat silaturrahmi
dari hujung ke sempadan negeri
meredah belantara warni
juwita citraku :
sesejuk mata bonda
meningkah di hujung nyawa

Merdekalah sukma bonda :

Saat siren tangisan pertamamu
memecah sunyi di ruang sepi :
seorang khalifah lahir suci
menyambung sirat sempurna sifat
bangun membasuh lelangit jelaga
- lantas
sirna debu jadi kilauan murni
seindah merdeka sukma bonda

Ingatlah anakanda :
perit tanggung bonda
tiada mohon simpati
cuma kasihutuh terpatri
lekap paut di kalbuhati
ke mana benua berada
adat dijunjung budi dikendong
sepanjang era dikenang
seharum nama si empunya
seorang BONDA – sukmanya MERDEKA!

p/s...puisi ini saya ciptakan dalam tempoh beberapa minit sejurus selepas menerima panggilan Zach Manan disusuli risikan lantas pinangan dari RTM Kuching untuk Rancangan Anjung Budi...tarikhnya saya lupa...seminggu sebelum rakaman 28 Julai 2006
....dan impaknya begitu mendalam dan bermakna dalam biografi hidup saya...

04 Ogos 2006
POLIKU

Monday, July 31, 2006

Akhirnya Kasih Pun Terjejak...(sebenarnya)

Saya sedikit kecewa pabila apa yang saya tulis sebelumnya tidak dapat diposting. Namun itulah hakikat bahawa kita hanya merancang dan Dia(Allah) yang menentukan dan Berkehendakkan sesuatu samada jadi atau sebaliknya...

Apapun, saya tetap meneruskan penulisan ini mungkin dalam bentuk lain.

Ya! Setelah habis dari 'tekanan' persediaan rakaman puisi rancangan Anjung Budi TV1, niat saya untuk mempertemukan suami dan ibu kandung serta adik-beradik sebenarnya hampir tercapai.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada rakan sekursus sdri Ramlah Buntak dari Lawas kerana telah menyampaikan pesan dan gambar kami 4 beranak kepada keluarga kandungnya. Itupun setelah disiasat semasa kak Ramlah bermalam di rumah saya.

Perasaan terharu menyelinap ke jiwa saya dan suami. Semalam selepas kak Ramlah pulang ke Lawas, kami menerima panggilan telefon bertalu2 dari keluarga kandung suamiku yang sudah lebih 31 tahun tidak dijejaki.

Alhamdulillah...itu saja ucapan yang mampu saya luahkan. Perasaan gembira dan sedih (terkilan) suami kerana dapat mendengar suara ibu kandungnya jelas terpampang di wajah beliau. Saya pula yang terlebih menitiskan airmata gembira.

Itulah yang dinamakan kekuasaan Allah. Jika Dia mahu, maka bertemulah.

InsyaAllah, keluarga kandung suami dalam perancangan membawa ibunya yang berbangsa Kedayan menziarahi kami di Kuching untuk menunaikan keinginan suami berjumpa beliau. Kami tidak dapat ke Lawas kerana tidak punya cuti yang mencukupi dan dibebani tugas.

Kg Sualai, Jalan Punang, Lawas. Di situlah tumpah darah kelahiran suamiku tercinta. Anak keturunan bangsa Kedayan. Dan saya tumpang gembira kerana anak-anak kami berdarah kacukan Melayu-Kedayan.

Armiza Nila
Kg Semariang Batu, Kuching.
31 Julai 2006

Monday, July 17, 2006

Kunjungan Terjah API




salam---

Yusuf & Zach (mewakili API) telah membuat terjahan ala Nas Melodi ke teratak kecil saya. Saya amat berbangga atas kunjungan seni begini walaupun saya tidak membuat sebarang persiapan. Saya kira Y&Z hanya datang untuk berkunjung biasa sahaja di samping membantu saya memperbetulkan puisi untuk rancangan Anjung Budi. Rupanya lebih daripada itu.

Saya sempat menonton Filem Pendek API berjudul De Tour lakonan Yusuf Fansuri secara monolog dalaman yang dilatari suara Zakaria Abdulmanan. Saya amat menyukai filem yang penuh simbolik ini meskipun hanya memakan masa 15 minit tapi amat berkesan di jiwa saya. Dan...saya akan terus menikmatinya untuk beberapa kali lagi bagi menghayatinya dengan sungguh-sungguh sehingga beroleh sesuatu yang berharga. Begitu tinggi harapan saya terhadap API!

O....rupanya kehadiran mereka berdua juga didorong oleh satu misi baru API yang akan menemui khalayak sedikit masa lagi. Dengan wajah rupa yang asli saya menjawab segala pertanyaan yang bertubi-tubi dari Yusuf dengan hati yang penuh ikhlas...

Serasa terlalu cepat waktu berlari. Y&Z pergi meninggalkan saya, suami dan anak2. Ternyata 'Irfan dan Adib begitu senang dengan kehadiran mereka berdua. Dan 'Irfan punya kemesraan yang lebih pulak terhadap Yusuf...jeng..jeng...jeng...(tanda2 awal, kata Zach!)hehehe..

Apapun, Armiza Nila sekeluarga mengucapkan berbanyak terima kasih atas kunjungan seni sebegini. Insya Allah kunjungan yang akan datang Miza akan sediakan persiapan yang lebih meriah bagi menghidupkan lagi suasana seni berlatarbelakangkan hutan paya bakau dan air sungai yang mengalir sepi....

Armiza Nila
Kg Semariang Batu
17 Julai 2006

Tuesday, July 11, 2006